SEREMBAN - Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) mempelawa mana-mana pihak atau individu yang mempunyai kepakaran untuk membantu menyelesaikan masalah gangguan atau histeria yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasoh 3, Jempol, sejak tiga bulan lalu.

Gangguan itu menyebabkan setiap hari akan ada murid yang dirasuk, sekali gus menjejaskan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah berkenaan.


Pengarahnya, Rusni Ab Jalil berkata, pihaknya memandang serius perkara itu berikutan ia masih berlarutan sehingga kini walaupun telah pelbagai usaha dilakukan pihak sekolah.
“Saya difahamkan pelbagai usaha telah dibuat bagi menanganinya. Antaranya, memanggil Pejabat Kesihatan Daerah bagi membuat pemeriksaan tahap kualiti makanan dan tempat penyediaan makanan di situ apabila laporan menyatakan murid akan berasa pening sebelum kejadian histeria berlaku.

“Namun, pemeriksaan mendapati kualiti kebersihan kantin adalah dalam keadaan baik. Jadi, usaha menggunakan khidmat rawatan alternatif dan kaedah Islam pula digunakan, tapi malangnya masalah ini masih berlarutan,” katanya di sini, tengah hari tadi.

Sehubungan itu, katanya, JPN menyambut baik sebarang usaha dari mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran bagi membantu menyelesaikan masalah berkenaan.
Sementara itu, difahamkan kejadian mistik itu mula berlaku selepas murid di sekolah terbabit mengalami sakit perut dan muntah sebelum kes tersebut dirujuk kepada pejabat kesihatan daerah.

Menurut sumber, pihak sekolah pada awalnya menyangka kesemua murid itu mengalami keracuan makanan di kantin sekolah, bagaimanapun pemeriksaan mendapati tiada bukti mengaitkan kes berkenaan.

“Jadi pihak sekolah merasakan kejadian itu berlaku disebabkan ada unsur makhlus halus dan tindakan diambil adalah memanggil beberapa pengamal perubatan Islam.
“Tapi apa yang membimbangkan kejadian itu belarutan sehingga hari ini (semalam) dan setiap hari akan ada beberapa pelajar dirasuk sehingga menjejaskan proses pembelajaran dan pengajaran.

“Pihak sekolah tidak mahu menghebahkan perkara ini dan cuba untuk cari jalan alternatif. Tapi, semua usaha dilakukan tak berhasil dan ia sedikit sebanyak telah menganggu emosi murid-murid lain termasuk guru,” katanya.

Menurutnya, leadaan kelam kabut akan berlaku pada setiap hari sepanjang sesi persekolahan bermula jam 9 pagi sehingga tamatnya waktu persekolahan.
Apa yang lebih merunsingkan, katanya, pihak sekolah kerana murid-murid sedang menjalani pemeriksaan akhir tahun dan keadaan itu sudah tentunya menjejaskan persediaan mereka.